Mounira, 10 Ogos - Dalam keghairahan presiden Mesir yang baru, Dr Muhammad Mursi mengisytiharkan kebersihan sebagai salah satu janji 100 hari pemerintahan beliau, masih ada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan membuang sampah merata-rata. Tambah menerukkan keadaan, situasi ini turut dilakukan pelajar perubatan Malaysia.

Tinjauan krew mediaPERUBATAN di Jalan Sheikh Aly Yusuf pagi tadi mendapati timbunan kertas bertebaran di simpang jalan tersebut berdekatan kedai kopi berhampiran. Pihak kami cuba menjustifikasikan keadaan tersebut kerana perbuatan anjing liar, namun pemeriksaan kawasan sekeliling mendapati tiada tong sampah kelihatan.

Penelitian lanjut mendapati timbunan kertas tersebut terdiri daripada nota kuliah dan dokumen-dokumen program. Malah logo PERUBATAN dapat dilihat dengan jelas mengesahkan sampah sarap tersebut milik pelajar perubatan Malaysia. Sikap buruk ini ternyata memburukkan pelajar Malaysia yang sering digelar 'ahsan nas' (insan terbaik) oleh penduduk setempat.

Namun begitu ternyata janji Dr Muhammad Mursi untuk mengutamakan kebersihan dibuktikan benar kerana sejam kemudian kelihatan Arab membersihkan kawasan dengan mengutip kertas-kertas yang berselerakan. -mP
| < Prev | Next > |
|---|







