15 Julai 2012 – Tentatif program yang bermula seawal 1 pagi tidak sedikit pun mematahkan semangat 49 orang peserta Jaulah Jejak Auliya’ Bahnasa ketika berkumpul untuk bertolak ke Bahnasa. Rombongan ini turut diiringi Ustaz Abdul Malik, Ustaz Muhammad Syafiq dan Ustaz Mohd Solehhudin yang memberikan pelbagai maklumat yang bermanfaat kepada para peserta. Bahnasa, sebuah kawasan perkampungan padang pasir di muhafazah Minya, terletak 220km daripada Kaherah. Namun di sebalik debu dan makam-makam, tersembunyi 1001 kisah dan keberkatan di tanah ini.
Sejarahnya secara ringkas, kota Bahnasa dahulunya ditakluk kerajaan Rom dan merupakan sebuah kota yang serba kukuh benteng pertahanannya, dikelilingi tembok yang kukuh dan rantai berduri. Selepas pembukaan kota Bahnasa oleh tentera Islam yang diketuai Saidina Khalid Al-Walid, kota ini dijadikan tempat membuat kain tenun yang disulam dengan emas.
Saidina Amru Al-Asr RA, sahabat baginda yang membuka Mesir pernah mengatakan “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda “ : {Tidak ada selepas Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis suatu tempat yang berkat melainkan di bumi Mesir serta lebih banyak keberkatan di bahagian Barat.} Kata Saidina Amru lagi : “Mudah-mudahan ia (tempat yang banyak keberkatan itu) ialah Bahnasa”. Keberkatan ini disebabkan betapa ramainya sahabat baginda yang gugur syahid di medan perang di Bahnasa kerana perbezaan bilangan tentera Islam menentang tentera Rom .

Pelbagai makam yang dilawati dan terdapat beberapa daripadanya yang mustajab doanya seperti makam Saidina Hassan bin Soleh bin Zeinal Abideen bin Hussein (cicit Saidina Hussein, cucu baginda SAW), makam Saidina Abdul Razaq Al-Ansari (digelar Fathul-Bab kerana membuka kota Bahnasa dari dalam tembok kota) dan tempat beribadatnya Nabi Isa bin Maryam. Selain itu, terdapat juga pokok berteduhnya Siti Maryam dan Nabi Isa ketika mereka dikejar tentera Rom. Peserta juga berkesempatan melawat Bahru Yusufi, sebuah sungai yang bersambung dengan Sungai Nil dibina ketika pemerintahan Nabi Yusuf bagi mengairi kawasan tanaman di situ. Menurut para ulama, malaikat Jibril telah menggerakkan hujung sayapnya atas arahan Allah agar air sungai Nil mengalir masuk ke Bahru Yusuf setelah Nabi Yusuf berdoa memnita pertolonganNya.
“Diharapkan agar jaulah ini bukan sekadar ziarah secara zahir, tetapi para peserta dapat mengambil iktibar dan semangat juang daripada para sahabat agar dapat kita gunakan untuk bantu menegakkan perjuangan Islam di muka bumi ini. Semoga jaulah ini juga bukanlah yang pertama dan terakhir, inshaAllah,” ulas Ustaz Abdul Malik, yang juga terkenal di laman sosial Facebook dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir kerana updates berkenaan politik semasa timur tengah.
Pengarah program, saudara Mohammad Busyoiri turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan penglibatan AJK pelaksana, ustaz-ustaz pengiring dan para peserta serta menyuarakan harapan agar jaulah sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
“Jaulah in bagus dan bermanfaat. Mungkin PERUBATAN boleh merancang satu program yang sama pada musim cuti akan datang khususnya musim sejuk,” komen saudara Amir Syahid, pelajar tahun 4 Universiti Kaherah.

MediaPERUBATAN mengucapkan tahniah kerana mengajurkan program yang penuh penigisian dan pengajaran melalui aktiviti luar. Diharapkan program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang untuk diambil iktibar oleh semua ahli PERUBATAN.
| < Prev | Next > |
|---|






