Anda bersedia untuk melaksanakan satu sunnah yang menyempurnakan sebahagian deen anda?
Hati anda sudah tertawan pada si dia, tetapi tidak tahu apa langkah seterusnya?
Anda ingin mencari kekasih hati, teman sehidup semati, bercinta hingga ke syurga, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencari?
Anda ragu-ragu, adakah anda yang terbaik buat dia, dan dia yang terbaik buat anda? Perlukan kepada perkenalan dan perbincangan dengan lebih terperinci?
Masih tidak temui jalan penyelesaian?
Usah risau, Unit Bait Muslim PERUBATAN bersedia untuk membantu anda.

Algoritma di bawah adalah sebagai panduan umum. Ada beberapa perincian yang tidak dapat dimuatkan. Aturan langkah-langkah juga fleksibel kepada perubahan.


Perigi Cari Timba?
Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk "Wanita menawarkan dirinya kepada lelaki soleh" (rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a. berkata di sisi anak perempuannya (ertinya):
"Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah s.a.w. lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda), berkatalah wanita itu:
"Wahai Rasulullah, adakah engkau mempunyai hajat kepadaku?"
Maka anak perempuan Anas r.a. menyampuk:
"Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya."
Maka Anas r.a. menjawab:
"Dia lebih baik darimu, dia berkehendakkan Nabi s.a.w. lalu menawarkan dirinya kepada baginda s.a.w."
(Sohih Al-Bukhari, 7/17).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (Fath al-Bari, 9/175).
Justeru, jangan terlalu terpengaruh bahawa wanita tidak boleh melamar lelaki yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik.
Perigi cari timba hanya pepatah. Perigi tak salah mencari timba. Pada hakikatnya, timba akan membuat pertimbangan dan keputusan sendiri, maka timba yang sebenarnya mencari perigi.
Buat akhawat, yang ada calon dalam fikiran, anda malu untuk berterus-terang secara direct kepada si dia? UBM PERUBATAN boleh membantu.
Maklumkan kepada AJK UBM PERUBATAN. UBM akan tanya calon tersebut sama ada sudah berpunya atau belum (identiti anda tidak didedahkan). Jika jawapannya belum, dan dia sedang mencari, anda ada 2 pilihan cara menyampaikan hasrat hati kepada si dia.
Pilihan 1 - Melamar (Taqdim)
Contoh dialog yang akan berlaku antara AJK ikhwah UBM dengan si dia:
"Hamdi, ni ada sorang akhawat ni, namanya ____________ , dia sebenarnya yang tanya tentang anta sebelum ni, dah berpunya ke belum. So, fikir-fikirkanlah. Ini borang profil UBM dia. Kalau anta nak buat perjumpaan ta’aruf dahulu, UBM boleh bantu."
Boleh juga sekiranya anda ingin mengarang ayat sendiri menulis surat, dan menyerahkannya terus atau melalui UBM.
Pilihan 2 – Dicadangkan nama anda
Contoh dialog yang akan berlaku antara AJK ikhwah UBM dengan si dia:
"Hafzi, nak ana tolong carikan tak? Nak cadangkan sorang akhawat ni, namanya ____________ . Apa kata anta cuba pertimbangkan akhawat ni. Fikir-fikirkanlah. Ini borang profil UBM dia. Kalau anta nak buat perjumpaan ta’aruf dahulu, UBM boleh bantu."
Yakin Pada Allah Yang Maha Mengetahui
Mari kita renungkan kisah Saidina Umar r.a. yang berusaha mencarikan jodoh buat puterinya yang janda yakni Hafsah r.a.
Saidina Umar pergi menemui Saidina Usman bin Affan r.a. lalu menawarkan padanya Hafsah. Saidina Usman mengambil masa beberapa hari berfikir, lalu beliau menemui Saidina Umar r.a., dan memberi jawapannya, iaitu tidak menerima akan tawaran tersebut.
Kemudian Saidina Umar pergi menemui Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan menawarkan padanya Hafsah. Saidina Abu Bakar mendiamkan diri selama beberapa hari, tanpa memberi jawapan kepada Saidina Umar.
Saidina Umar tetap menanti jawapan daripada Saidina Abu Bakar selama beberapa hari. Lalu pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan beliau, dan meminang puterinya Hafsah.
Allah Maha Mengetahui, menetapkan apa yang terbaik buat hamba-hambanya yang soleh. Hafsah mendapat seseorang yang lebih baik daripada Saidina Usman r.a., iaitu Muhammad Rasulullah s.a.w. Dan Saidina Usman mendapat seorang yang lebih baik daripada Hafsah, iaitu puteri baginda Rasulullah s.a.w.
Banyakkan usaha menjadi baik, atau lebih baik, warnai kehidupan seharian dengan nilai-nilai Iman dan Islam.
Kemudian berusaha mencari yang baik, insyaAllah, yang terbaik akan Allah s.w.t aturkan buat kalian.
Pertemuan Ta’aruf (Pra-Taqdim)
Telah datang kepada Rasulullah s.a.w. seorang lelaki lalu menceritakan bahawa dia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Adakah kamu telah melihatnya?”
"Belum,” jawabnya. Nabi s.a.w. menjawab (ertinya): "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)."
(Riwayat Muslim)
Juga pesan Nabi Muhammad s.a.w. kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui dia ingin meminang seorang wanita:
"Pergilah melihatnya (melihat untuk menilai kesesuaian), sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya (perkahwinan/ cinta) antara kamu berdua."
(Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban; Hasan menurut At-Tirmidzi no. 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani)
- Tujuan pertemuan ta’aruf adalah melihat, mendengar, berkomunikasi, mengetahui perancangan hidup dan kerjaya, dan menilai calon, dengan cara yang syari’e.
- Faedah pertemuan ini adalah untuk kedua-dua belah pihak, ikhwah dan akhawat.
- Natijah daripada pertemuan ini ada dua, samaada ikhwah akan taqdim, atau tidak.
- Buat kaum Hawa, sekiranya ikhwah tersebut taqdim, anda boleh terima atau tolak, berdasarkan penilaian dan istikharah anda. Sekiranya ikhwah tidak taqdim, yakinlah Allah S.W.T. telah menyusun yang terbaik buat anda.
Beberapa Peringatan dan Penjelasan
- Jangan lupa untuk berbincang dengan ibubapa tersayang. Tanya pendapat mereka, minta persetujuan mereka.
- Dalam fasa selepas taqdim, perbincangan antara ikhwah dan akhawat kadangkala perlu kepada perbincangan secara bersemuka. UBM PERUBATAN sedia membantu.
- Anda boleh memilih untuk berurusan dengan mana-mana AJK UBM mengikut keselesaan anda. Segala urusan anda dengan AJK UBM tersebut adalah rahsia, tidak disampaikan kepada AJK UBM lain, melainkan apabila keadaan menuntut. Ia adalah satu amanah buat kami, juga individu-individu yang terlibat.
- Manusia hanya merancang dan berusaha, Allah S.W.T yang menentukan. Letakkan harapan kepadaNya melebihi yang lain. Wallahua'alam.
Jom like laman facebook Unit Bait Muslim PERUBATAN
| < Prev | Next > |
|---|






