
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan limpah kurniaNya, kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Selawat dan salam diperbanyakkan ke atas junjungan mulia Rasulullah Sollahu `Alaihi Wassalam.
Musim peperiksaan sudah melabuhkan tirai dan kini cuti musim panas mula menjelang. Pada tahun ini, menurut survey yang telah dilakukan oleh Jabatan Setiausaha Agung PERUBATAN, terdapat ramai dalam kalangan mahasiswa/wi sains kesihatan Mesir yang telah dan akan pulang bercuti di tanah air tercinta, Malaysia. Bilangan rakyat Malaysia di Mesir yang semakin hari kian berkurang pada cuti musim panas ini memerlukan kita untuk lebih berwaspada dan berhati-hati.
Dalam bulan yang penuh barakah ini, umat Islam keseluruhannya serta ahli PERUBATAN khususnya sudah pasti berlumba-lumba dalam mengerjakan amal ibadah bagi mencari Redha Allah, di samping sentiasa mencari peluang bagi menambahkan ilmu dengan mengunjungi kelas-kelas pengajian yang tumbuh seperti cendawan di Markas PERUBATAN dan juga di rumah-rumah negeri sekitar Hayyu Sabi’ & ‘Asyir.
Sehubungan dengan itu, pihak JAKSI telah mengambil inisiatif untuk mengemaskini jadual musyrif mengikut keberadaan para ikhwah (mahasiswa ahli PERUBATAN) sepanjang cuti musim panas ini. Diharapkan kepada semua ahli PERUBATAN khususnya para mahasiswi untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di luar rumah. Elakkan daripada berjalan berseorangan walaupun pada siang hari dan gunakanlah perkhidmatan musyrif pada waktu malam.
Sabda Rasulullah S.A.W.: Sebaik-baik masjid bagi para wanita ialah di dalam rumahnya. (HR Ahmad)
Namun begitu, bagi mereka yang ingin menunaikan solat Tarawih di masjid, pilihlah dan pergilah ke masjid-masjid yang berdekatan di mana laluannya diyakini dan diiktiraf selamat. Usahlah berani tidak bertempat kerana malang itu tidak pernah berbau.
Pada kesempatan ini, pihak JAKSI ingin mengucapkan selamat menyempurnakan Ramadhan Al-Mubarak. Akhir kalam, manfaatkanlah masa dengan dengan sebaiknya dan sentiasalah beringat untuk menjaga keselamatan bersama. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang bertaqwa.
Seeru `ala barakatillah. Sekian, wassalam.
| Jadual Musyrif Ramadhan 2012 Version:Fasa I | |
Jadual Musyrif Fasa I: 1-15 Ramadhan 2012 |
|
| |
|
| < Prev | Next > |
|---|






