
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum WBT,
Segala pujian dan kesyukuran kita panjatkan ke hadhrat Ilahi, Sang Pencipta kita yang masih memberi ruang untuk kita bernafas dalam nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, utusan terakhir rahmat buat semesta alam.
Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan rasmi oleh Timbalan Presiden I PERUBATAN sebelum ini, sempena cuti musim panas yang akan datang, PERUBATAN akan menganjurkan beberapa program baik di Mesir mahupun di Malaysia.
Dalam kerangka merealisasikan tema PERUBATAN, “Ilmuan Berbakti Teguh Sehati”, PERUBATAN percaya, pembinaan karakter Ilmuwan Muslim cemerlang kuncinya adalah pada kebijaksanaan dalam pengisian masa dengan berkesan, dan ketekunan dalam mencari ilmu.
Justeru, bagi meneruskan agenda akademik dan kesatuan dalam PERUBATAN, pada tahun ini PERUBATAN sekali lagi menganjurkan program Yielding Medical Heroes (YAHOO! @ Beijing).
Bertempat di sekitar Masjid Beijing, Rantau Panjang Kelantan, program ini dengan izin Allah akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2012.
Nama YAHOO! telah digunakan buat pertama kali dalam program Kem Musim Panas PERUBATAN yang telah diadakan di Nur Lembah Pangsun, Selangor, pada tahun 2010. Namun, pada tahun lepas, Simposium Mahasiswa Perubatan Islam 2011 telah diadakan dengan konsep seminar bagi menggantikan YAHOO!.
Tajaan daripada Kerajaan Negeri Kelantan
PERUBATAN juga sekali lagi telah berjaya mendapatkan kerjasama Unit Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO, Kerajaan Negeri Kelantan dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dalam menganjurkan program ini secara bersama.
Apa yang menarik bagi penganjuran YAHOO! @ Beijing adalah integrasi antara tiga konsep program yang biasanya dijalankan secara berasingan. Integrasi ini bagi saya, menunjukkan kematangan PERUBATAN dalam penganjuran program bagi menjanjikan kesan optimum melalui satu-satu program.
Fokus: Seminar dan Latihan Berkhidmat untuk Masyarakat
YAHOO! @ Beijing menjanjikan para peserta dengan pengisian berbentuk pengenalan kepada klinikal (konsultasi pesakit), sebuah forum, pengisian ala-ala seminar dan yang paling menarik, program khidmat kemasyarakatan.
Selain daripada cuba memberi gambaran tentang alam kerjaya kelak, adalah turut menjadi keutamaan bagi kami di peringkat pimpinan bagi menerapkan sifat ar-rahmah dengan baik dalam warga PERUBATAN. Kami percaya, penganjuran program berbentuk khidmat masyarakat dapat melahirkan warga PERUBATAN yang cakna masyarakat, sentiasa menyelami kehidupan masyarakat yang berbeza latar belakang dan cara hidup. Ar-rahmah dalam jiwa kita akan dapat dipupuk dengan lebih baik apabila bergaul secara langsung dengan mereka yang mungkin kurang bernasib baik.
Di pihak penganjur, kami akan cuba mewujudkan tabung khas untuk membuka ruang kepada warga PERUBATAN dan ahli keluarga untuk memberi sumbangan yang akan disampaikan kepada penduduk di kawasan yang akan kita ziarahi.
Aktiviti dan Pengalaman Lain yang Menanti Anda
Di samping menziarahi Bumi Serambi Mekah, YAHOO! @ Beijing juga akan turut memberikan anda peluang merasakan suasana Ramadhan di Kelantan, dan antara lain, peserta akan turut dibawa membeli-belah di Zon Bebas Cukai, Rantau Panjang.
Yuran RM 50 yang dikenakan akan digunakan bagi pengurusan program, sehelai t-shirt untuk para peserta dan juga sebagai dana untuk PERUBATAN sendiri.
Dengan ini, saya mewakili pimpinan PERUBATAN mengajak kepada semua ahli PERUBATAN untuk sama-sama merebut peluang ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan serta PAPISMA atas kesudian menganjurkan program ini secara bersama. Tidak dilupakan juga buat para AJK Program yang sedang bertungkus-lumus dalam menjalankan persediaan program.
Selamat Datang ke Bumi Kelantan buat bakal Peserta!

| < Prev | Next > |
|---|






