
Assalamualaikum w.b.t
Salam imtihan buat sahabat-sahabat yang masih dalam fatrah peperiksaan dan tidak juga dilupakan kepada sahabat-sahabat yang sudah selesai bertempur dengan peperiksaan.
Syukur dan sujudlah atas keluasan nikmat Allah SWT yang tidak henti-henti mengurniakan kita dengan segala macam nikmat tanpa sebarang bayaran. Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, semoga cinta kita kepada baginda menjadikan kita hamba yang patuh dan taat kepada perintah dan arahan Tuhan sekalian alam.
Bersempena dengan cuti panjang sempena musim panas yang bakal menjelang ini, dan seperti yang diberitakan dalam kenyataan sebelum ini, PERUBATAN sekali lagi mengambil langkah dalam usaha memberikan kesedaran kepada ahli terhadap pentingnya kemahiran klinikal dalam mempraktikkan ilmu kedoktoran yang diperoleh di negara padang pasir ini.
HOPES OF THE FUTURE
Program ini merupakan program kerjasama antara persatuan PERUBATAN dengan universiti tempatan (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan hospital universiti tersebut (HUKM). Idea asal untuk berkerjasama dengan universiti tempatan ini daripada sekumpulan pelajar tahun 3 2010/2011 universiti Iskandariah yang mana mereka telah terlebih dahulu menjalinkan hubungan dengan persatuan pelajar universiti tersebut.
Oleh yang demikian, pihak PERUBATAN mengambil ini sebagai cadangan yang bernas untuk diperkenalkan di peringkat induk sendiri dan seterusnya menjalin hubungan yang lebih erat antara kedua-dua persatuan pelajar.
Tema yang diketengahkan oleh pihak kami bagi program yang bakal berlangsung selama 3 hari dan 2 malam ini adalah “HERE ARE YOUR GOALS”.
KONSEP
Program yang berkonsepkan latihan dan klinikal ini diperkenalkan selepas meneliti hasil pandangan beberapa orang lepasan universiti di Mesir yang mengatakan kita kurang pendedahan kepada kemahiran klnikal. Hal ini kerana kebanyakan universiti di sini masih lagi menggunakan sistem konvensional yang mana menekankan aspek peperiksaan berbanding kecekapan mengendalikan pesakit.
Justeru, konsep yang dibawakan ini dijangka mampu memberikan sedikit sebanyak input yang berguna kepada ahli dalam mengenali bidang perubatan secara lebih mendalam, lebih-lebih lagi ia turut melibatkan pelajar-pelajar dari universiti tersebut.
ANTARA YANG MENARIK
Beberapa pengisian menarik telah disusun dan dirancang bagi mencapai objektif-objektif yang telah disepakati diperingkat perancang program.
Antaranya termasuklah talk yang bertajuk “We are the future doctors” yang bakal membuka tirai program tersebut.
Sebuah forum yang berkisar tentang kehidupan seorang doktor sebelum dan selepas ijazah yang bakal menampilkan 2 orang doktor lepasan universiti di Mesir dan universiti tempatan juga bakal berlangsung.
Selain itu, sejajar dengan perubahan arus politik Islam disekitar Timur Tengah, sebuah slot bakal membicarakan isu ini bagi mengambil ibrah dan pengajaran selaku pemerhati seterusnya menghasilkan tindakan kita pula di tanah air sendiri.
Dan juga beberapa lagi aktiviti yang dirancang secara bersama oleh kedua-dua pihak yang berkerjasama.
Kesemua slot ini bakal menampilkan wajah-wajah terkemuka yang mampu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan semua peserta.
HARAPAN
Semoga program ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dari segi teknikal dan persediaan dan semestinya ia berhajat kepada kerjasama yang jitu dari kalangan pelaksana di peringkat kedua-dua persatuan.
Dan juga semoga mendapat kerjasama dari semua ahli untuk libatkan diri dalam program ini kerana ia mampu memberi manfaat kepada ahli dalam mempersiapkan diri sebelum bergelar seorang doktor kelak.
Akhirnya, semoga semua ahli PERUBATAN dapat memenuhi masa cuti dengan perkara yang berfaedah dan bermanfaat selain berbakti kepada kedua orang tua bagi yang pulang ke Malaysia.
Semua ahli boleh mendapatkan kiriman-kiriman terbaru berkenaan program yang bakal berlangsung sepanjang cuti musim panas melalui pautan berikut:
http://summer.perubatan.org/2012/
Sekian, selamat bercuti dan selamat maju jaya untuk semua warga PERUBATAN.
Wassalam

| < Prev | Next > |
|---|







Comments
RSS feed for comments to this post