Bismillah.
Saya terilham malam ini untuk menulis satu entri yang agak panjang. Saya tidak mampu memendekkannya dan menjadikannya lebih menarik. Sesuka hati saya sahaja tulis apa yang ada dalam fikiran. Sebenarnya ingin mempersiapkan diri sendiri menghadapinya nanti. Walaupun sudah 5 tahun berturut-turut memaluinya, saya sendiri mula lupa apa yang patut saya lakukan.
Setelah diimbas, tahun demi tahun, perubahan demi perubahan berlaku dalam saya menghadapi dur thani. Perkembangan yang agak lambat memandangkan tahun 2 sahaja saya melalui 3 kali dur thani ! Mungkin saya jenis yang lambat menyesuaikan diri dengan keadaan atau kurang reti belajar daripada kesilapan silam. Sekarang, sedikit sebanyak saya dapat menyusun bagaimana sebenarnya hendak melaluinya jika ia berlaku lagi.
Jadi rasanya molek juga jika dituliskan di sini sebagai peringatan buat diri pada masa mendatang. Juga khas buat adik-adik yang terkandas seketika. Mungkin ini cara terbaik untuk saya sampaikan buat adik-adik sekalian. Nak jumpa setiap orang agak sukar, ditambah kebanyakkannya tidak saya kenal. Setiap tahun bila keputusan adik-adik keluar, saya akan mencari nama-nama yang tersangkut. Terasa seperti melihat keputusan sendiri. Saya doakan agar adik-adik diberikan ketenangan, kemudahan, kekuatan dan keredaan hati seterusnya kejayaan.
Apa yang penting bagi saya ialah persediaan dalaman. Mungkin ada manusia yang tenang sahaja bila perlu repeat paper. Tapi kebanyakannya akan rasa tertekan. Suasana dur thani amat berbeza dengan dur awwal. Dalam keadaan kebanyakan kawan-kawan sedang seronok bercuti bersama keluarga atau melancong, kita pula perlu membuka lagi buku setelah 2 bulan peperiksaan sebelumnya. Tambahan pula ia adalah peluang terakhir. Dur thani akan dirasakan agak berat bila kali pertama menghadapinya. Lagi pula bila langsung tidak menduga akan kegagalan itu. Tinggal pula kita seorang yang mengulang sedang ahli bait semuanya cemerlang. Kemudian kita akan tertanya-tanya bagaimana caranya baru boleh lulus? Apakah silapnya? Cara menjawabkah atau cara studykah? Tragik sekali.

- Nasihat yang saya boleh berikan pertamanya, tenangkan diri. Kalau nak menangis atau berjalan mencari ketenangan, lakukannya cepat-cepat. Jangan tahan dan jangan lama-lama pula. Kemudian barulah merancang sesuai dengan jadual yang sudah keluar dengan sepenuh tawakal pada-Nya.
- Tanya dan minta nasihat tentang cara-cara untuk study bagi setiap subjek kepada sesiapa sahaja, dari secemerlang-cemerlang manusia sehinggalah kepada manusia yang berpengalaman melalui dur thani bagi subjek tersebut. Sesuaikan dengan keadaan diri.
Pada ketika ini, nasihat orang yang pernah 'mengulang dan lepas' kadang-kadang lebih berharga berbanding orang yang mumtaz kerana orang mumtaz kebanyakannya study dari awal tahun. Jadi mungkin kurang dapat diaplikasikan. Orang yang 'mengulang dan lepas' mungkin ada tips tertentu yang istimewa. Apa pun minta saja tips dari setiap lapisan pelajar medik. Bukan saja nasihat umum, nasihat bagi setiap subjek juga penting kerana setiap subjek itu berbeza cara study. - Dalam waktu merancang untuk study itu, rancang juga bagaimana jiwa dapat menempuh fasa dur thani dengan baik sampai akhirnya. Pastikan emosi stabil. Elakkan sebarang tekanan atau gangguan. Cari tempat study yang paling memberi keselesaaan luar dan dalam.
- Seeloknya duduk di rumah yang ada teman yang boleh menemani kita setiap waktu. Disyorkan bertemankan dengan jumlah yang minimum, seorang yang ada exam juga dan seorang yang tidak ada exam untuk kestabilan.
Kawan yang ada exam akan membuatkan kita tidak rasa keseorangan menghadapi peperiksaan sehingga mungkin boleh menyebabkan kita berfikir 'akulah manusia paling teruk di dunia ini kerana dur thani'. Kawan yang tiada exam mungkin boleh membantu kita dalam aspek lain seperti menguruskan rumah tangga dan menjadi pendengar yang setia. Mungkin saat kita tiba-tiba rasa sedikit tertekan, kawan yang ada exam itu sedang khusyuk study atau juga sedang tertekan. Jadi, di sinilah peranan kawan yang tidak ada exam. Melihat wajahnya yang tenang pun sudah cukup membuatkan kita rasa senang. Lagi seronok jika dia dapat membantu kita dalam study. Apa-apa yang kurang difahami, terus boleh ditanya. - Pastikan dari awal lagi segala kelengkapan dan keperluan untuk study mencukupi. Setelah buat keputusan memilih cara study terbaik, sediakan apa yang diperlukan seperti nota, buku soalan dan kertas kosong. Jika keperluan kita merupakan kawan yang boleh mengajar, dapatkannya juga !
- Jika kita terlalu memikirkan tentang ibu ayah yang telah kita kecewakan yang mungkin inginkan kita pulang ke Malaysia pada waktu itu, telefon dan mohon maaf dari awal. Jangan bermain dengan fikiran sendiri. Boleh jadi mereka tenang menerimanya malah tidak jemu mendoakan. Kalaupun mereka marah dan menyuarakan rasa kecewa, serahkan semuanya pada Allah. Berazam untuk buat yang terbaik untuk dur thani sebagai menebus segalanya.
- Doa jangan pernah putus. Sebelum mula study dan setiap selang waktu study, banyakkan selawat. Solat hajat, solat tahajud dan solat duha sebaiknya jangan ditinggalkan. Perbanyakkan baca surah al-Fath untuk ketenangan dan surah al-Sajdah untuk keyakinan. Masukkan nama kawan-kawan kita sekali dalam doa. Kalau boleh sebut satu persatu, biar kita najah bersama.
- Jika Facebook adalah gangguan, deactivate ia. Sekiranya takut terlepas sebarang maklumat, minta kawan sampaikan atau reactivate sebentar untuk lihat maklumat sahaja. Pastikan sebelum deactivate, segala file yang dikongsi oleh kawan-kawan yang sangat bermanfaat telah siap dimuat turun.
- Apa yang sangat penting, bayangkan yang kita pasti akan lulus kali ini insya-Allah. Jangan ada sedikit pun keraguan. Tetapkan target mengikut pembahagian markah. Tahu bahagian mana yang perlu kita score lebih. Semua ini untuk menambahkan keyakinan.
- Anggaplah kita tidak lulus final tempoh hari kerana kita memang perlu study lebih lagi subjek tersebut. Akui bahawa kita tidak sama dengan kawan-kawan kita yang lain yang cukup study sekali sahaja untuk final. Kemampuan setiap orang itu berbeza. Kita bukan lemah, cuma perlu usaha lebih lagi. Fokus pada takdir diri. Usah terganggu dengan takdir orang lain.

Baiklah, rasanya setakat ini sahaja. Saya tulis semua ini berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui. Perkataan 'jangan' atau 'usah' yang ada dalam tulisan ini kebanyakannya berdasarkan kesilapan yang pernah saya buat. Nasihat lain itu pula kebanyakannya daripada apa yang saya rasakan sangat membantu.
Tahun lepas ketika dur thani tahun 3, sayalah satu-satunya pelajar Malaysia tahun 3 yang mengulang keempat-empat subjek. Ada juga terasa 'Teruknya aku !'. Sudahlah tahun-tahun sebelumnya pasti ada subjek yang sangkut setiap kali dur thani, itu pun bukannya kena ulang setiap subjek. Pastinya keraguan itu datang.
Alhamdulillah, Allah memberi taufik dan hidayah-Nya untuk melaksanakan kebanyakan yang saya tuliskan di atas. Tambahan ketika itu saya mula study pada 1 Ramadan dan saya sangat percaya keberkatan dan rahmat Allah yang begitu luas di bulan Ramadan memberi sumbangan yang cukup besar.
Jangan putus asa Ok ! Allah pasti akan bantu segala segi sekiranya kita tidak mengalah. Berjaya atau tidak, itu urusan Allah. Urusan kita, berusaha sebaiknya.
Saya doakan adik-adik semuanya akan menempuh dur thani dengan jayanya. Percayalah satu hari ia akan menjadi kenangan yang manis. Tidak di dunia, di akhirat nanti kita akan tersenyum kerananya. Yakinlah bahawa segalanya datang dari Allah.
"Setelah yakin segalanya dari Allah, tiada lagi yang mampu mendukacitakan."
Info Penulis
Ami Farhani Binti Mohamad Nor Aripin merupakan mahasiswi perubatan tahun 4 Universiti Kaherah. Kini, sudah 6 tahun beliau menetap di bumi Mesir. Beliau sentiasa mendoakan pelajar-pelajar yang melalui dur thani dan berharapkan mereka akan melaluinya dengan gembira. Artikel asal daripada laman blog beliau, masih manusia .
| < Prev | Next > |
|---|







