You are here: Kehidupan | Tips/Panduan | Tips-tips 'Cramming' Untuk 'Final Exam'

Makluman

Kami telah berpindah ke PERUBATANonline v4! Laman v3 ini secara rasminya telah diarkibkan sebagai bacaan rujukan sahaja.

 asdas

Tips-tips 'Cramming' Untuk 'Final Exam'

E-mail Print PDF
dihantar oleh AhmadArdy
User Rating: / 2
PoorBest 

Menjadi kebiasaan apabila hampir tiba musim peperiksaan, berbondong-bondong nasihat, bengkel, pecutan terakhir dan seumpamanya menjelma ke dalam hidup seorang pelajar. Ada yang mengatakan hipokrit, apabila sampai fatrah peperiksaan barulah hendak belajar bersungguh-sungguh, barulah hendak beramal kebaikan.

Apa-apa pun semuanya kembali kepada niat si pelaku. Adakah kesungguhannya itu sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan, kemudian hilang segala hafalannya laksana pesakit Alzheimer? Ataupun kesungguhannya itu kerana dia merasakan peperiksaan adalah salah satu tanggungjawabnya sebagai seorang penuntut ilmu. Sesungguhnya setiap perbuatan akan diberi ganjaran berdasarkan niatnya.

1330372013955 6300472

Adapun salah satu fenomena yang menjadi kelaziman dalam kalangan pelajar dalam tempoh peperiksaan ialah fenomena cramming. Timbul persoalan, apakah itu “cramming”? Definisi cramming dalam konteks peperiksaan ialah menghafal sebanyak mungkin maklumat dalam waktu yang singkat untuk menduduki peperiksaan. Hal ini berlaku sekiranya seseorang itu lewat serta kesuntukan masa mengulangkaji untuk peperiksaan.

Timbul persoalan lain berkenaan definisi 'masa'. Adakah sehari sebelum itu dikira lewat, ataupun dua hari sebelum, ataupun seminggu sebelum? Tiada jangka masa spesifik untuk mengatakan seseorang itu lewat. Lewatnya seseorang itu ditentukan melalui anggaran masa minimum yang diperlukan untuk menghadam sesuatu maklumat dengan sempurna.

Sebagai contoh, sekurang-kurangnya 20-30 hari diperlukan untuk menghadam subjek Anatomy atau Physiology dengan sempurna untuk menjawab peperiksaan. Maka, sekiranya anda mula mengulangkaji pada hari T minus 15 hari, anda sudahpun terlewat. Pada ketika itu, bermulalah sesi cramming anda.
 

Kekalkan Semangat

Fatrah exam adalah masa yang amat sesuai untuk kita kehilangan motivasi dan berputus asa. Cuba fikirkan semula. Kita sudah kehilangan banyak masa. Mungkin juga kita sebelum ini tidak pernah memanfaatkan masa yang ada. Jumlah buku yang perlu dibaca membuatkan waktu yang singkat itu kelihatan makin singkat. Tidak logik untuk kita habiskan semuanya dalam waktu yang singkat. Kita begitu tertekan hinggakan apa yang dibaca tidak melekat dalam ingatan. Penyesalan demi penyesalan menerjah ruang fikiran.

Kemudian kita perhatikan rakan-rakan anda. Ada yang sudah habis mengulangkaji, walhal kita masih belum mula mengulangkaji lagi. Tidak cukup dengan itu, ada pula rakan kita yang sudah mengulang buku yang sama 5-6 kali. Habis semua maklumat dihafalnya, baik kecil mahupun besar, penting mahupun tidak. Otak rakan kita kelihatan seperti hard disc. Semuanya membuatkan kita terasa akan kecilnya diri kita ini.

Jadi, langkah pertama untuk kita kekalkan semangat kita adalah dengan menerima hakikat. Terima sahajalah kenyataan bahawasanya kita sudah terlewat. Tidak kiralah apa jua penyebab kelewatan itu, hakikatnya kita lewat. Kita tidak mampu merubah masa lampau. Apa yang mampu kita ubah ialah hari yang berbaki. Jadi mengapa digadaikan peluang-peluang yang ada di hadapan untuk menangisi peluang-peluang yang berlalu pergi. Manfaatkan hari yang ada.

Letakkanlah kepercayaan kepada Allah dan diri sendiri. Letakkanlah sasaran yang bersesuaian dengan diri kita. Jangan diletakkan sasaran yang mustahil, dikhuatiri kita akan keletihan dari awal lagi lantas mengurangkan kualiti ulangkaji kita. Dan janganlah meletakkan target yang terlalu rendah kerana kita tidak akan termotivasi untuk mengulangkaji dari awal lagi. Letakkan target yang tingginya cukup untuk mendorong kita tetapi rendahnya memberi peluang untuk kita mencapainya. Kekalkan fikiran yang positif.
 

Rancang Dengan Teliti

Adalah lebih baik sekiranya kita ambil 5-10 minit sebentar untuk merancang ulangkaji dalam hari yang berbaki. Semakin suntuk masa yang ada, semakin penting untuk kita membuat perancangan. Perancangan yang mantap juga memberi harapan kepada kita dan membantu kita mengekalkan motivasi.

Mind-mapping 1

Apa yang perlu dirancang? Memandangkan kita sudah kesuntukan masa, maka utamakan yang utama. Tentukan topik manakah yang penting, sederhana penting dan kurang penting. Antara kaedah menentukan topik yang perlu diberi keutamaan adalah:

  • Menghadiri kelas ulangkaji bersama pensyarah. Kebiasaannya pensyarah akan menekankan subjek yang penting dan perlu diberi keutamaan.
  • Membaca analisa soalan-soalan terdahulu.
  • Membuat latihan soalan.

Kita juga harus menyedari dan menerima kemungkinan beberapa topik terpaksa ‘dikorbankan’. Ya, ia merupakan balasan kerana berlengah-lengah. Tetapi ‘pengorbanan’ ini juga membantu anda untuk menumpukan lebih perhatian kepada topik yang lebih mustahak.

Hal ini penting kerana kebiasaannya naluri kita akan mendorong kita untuk mengulangkaji semua topik sebelum peperiksaan. Namun begitu, sekarang bukan masanya untuk berbuat sedemikian memandangkan kita sudah agak lewat. Jadi berikan tumpuan pada yang utama.
 

Tetap Dengan Perancangan

Sesudah merancang, laksanakan perancangan tersebut. Tetapkan pendirian untuk mengikut perancangan yang sudah kita gariskan. Jangan semudah-mudahnya menyimpang daripada perancangan anda.

Jangan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir lain. Dalam situasi tertekan dan gelabah, kita mudah untuk mengikut pengaruh rakan-rakan dan situasi. Tiba-tiba datang rakan yang mengatakan dia membaca tajuk sekian dan sekian, kita terus gelabah dan ubah semua prioriti kita. Kemudian datang rakan yang lain mengatakan dia membuat latihan sekian dan sekian, kita ubah lagi. Akhirnya kita akan menjadi celaru.

Ingat, kita tidak punyai cukup masa untuk mencuba sesuatu yang baru. Kalau ingin diubah juga, pastikan ia betul-betul penting dan bermanfaat serta masa masih membenarkan kita berbuat sedemikian.
 

Aktif !

Sekarang masanya untuk mengulangkaji secara lebih aktif daripada biasa. Gunakan sepenuhnya kuasa berfikir anda ketika membaca. Kita harus bersedia untuk membaca, ulang semula, soal diri dan yang penting berlatih mengeluarkan jawapan. Output merupakan segala-galanya. Input yang banyak tidak berguna sekiranya tidak mampu diterjemah menjadi output. Oleh itu, sentiasa berlatih untuk mengeluarkan output.

keep calm

Rehat

Ya, kita sedang kesuntukan masa. Tetapi tidak bermakna kita perlu mengorbankan masa rehat. Pastikan kita memberi hak kepada badan kita untuk berehat. Dapatkan rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga dan penumpuan ketika ulangkaji. Janganlah pula berlebih-lebihan dalam berehat kerana dikhuatiri kita akan jadi malas untuk sambung ulangkaji. Sekiranya ingin berjaga malam, pastikan sekurang-kurangnya kita luangkan 4 jam untuk tidur. Dan jangan sesekali melawan jam biologi anda. Sekarang bukan masanya.
 

D-day

Pada hari peperiksaan, tidak digalakkan untuk membaca benda baru walaupun rasa teringin. Hal ini akan membuatkan kita bertambah gemuruh dan juga mengganggu segala apa yang telah kita usahakan sebelum ini. Ulang, ulang dan ulang apa yang kita sudah baca. Kemudian, beristighfar, berdoa dan berserah kepada Allah.
 

Selepas Peperiksaan

Jangan lupa bersyukur setelah kita mampu untuk menjawab soalan (walaupun tidak sempurna). Ambillah pengajaran daripada kesilapan kita sebelum ini dan jangan sesekali diulangi lagi. Belajarlah untuk bersegera dalam mengulangkaji.

insanity

Percayalah bahawasanya kita sebenarnya bijak, tetapi sering dibelenggu sifat malas. Sifat malas ini mengekang perkembangan potensi diri yang sebenar. Ingin diulang di sini, cramming atau ulangkaji di saat terakhir tidak wajar dijadikan tabiat. Sekiranya kita mampu mengharungi debaran dan igauan ngeri ketika cramming, mengapa tidak kita mampu mengharungi perit getir melawan nafsu malas selama ini ? Serlahkan potensi diri dengan membuang sifat malas.

Semoga Allah membantu kita semua, amin.

Info Penulis

Ahmad Shahir bin Mohamad Nazri merupakan mahasiswa perubatan Tahun 3 di Universiti Kaherah. Merupakan pelajar cemerlang dalam batch beliau, beliau juga menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Tutorial, Biro Akademik sesi 2012/2013.


Banner



Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:

You cant comments here. Please Login or Register.

Berita Hangat

Artikel Popular

Komen Terbaru