You are here: Kehidupan | Tazkirah/Motivasi | "Abah, I Love You !"

Makluman

Kami telah berpindah ke PERUBATANonline v4! Laman v3 ini secara rasminya telah diarkibkan sebagai bacaan rujukan sahaja.

 asdas

"Abah, I Love You !"

E-mail Print PDF
dihantar oleh AhmadArdy
User Rating: / 2
PoorBest 

Ketika saya masih lagi di dalam kapal terbang pada hari itu, hati saya sebak. Macam-macam meragut perasaan tatkala menyedari kaki sedang melangkah masuk ke dalam pesawat. Terkenang Abah mencium pipi saya sebelum nak berlepas. Dipeluknya saya selepas itu. Ya Allah, erat sekali pelukan itu, seolah-olah Abah tidak mahu melepaskan anaknya yang seorang ini.

Ketika saya diam duduk di dalam kapal terbang, terngiang-ngiang suara Abah menangis taktala mengimam solat Subuh pagi tadi. Mengenangkan semua itu, sedar tak sedar, air mata saya meleleh. Rindu !

Abah. Itulah insan istimewa yang menjadi bapa saya. Saya tahu di sisi anda semua, pasti ada insan istimewa seperti ini. Mungkin anda memanggilnya Ayah, Papa, Daddy, Abi. Malah, mungkin ada yang memanggilnya Walid. Namun, walau apa sahaja panggilan yang anda berikan, dia tetap seorang lelaki yang yang sentiasa berusaha gigih untuk kita. Dialah ayah yang setiap masa bertanyakan hal ehwal pelajaran kita, yang tersengguk siang malam semata-mata untuk mencari nafkah untuk kita.

Kasih-seorang-ayah

"Tapi, Abah saya unik. Nak tahu kenapa? Sebab nama saya tidak berbinkan Abah. Saya hanyalah seorang anak kecil yang menumpang kasih Abah. Maha suci Allah yang telah mentakdirkan Abah menemui saya taktala Emak dan Ayah tidak mampu membela saya lagi. Abah, seorang pegawai polis muda ketika itu tidak sampai hati melihat saya dibesarkan di dalam kehidupan yang tidak sempurna. Lebih-lebih lagi apabila Emak dan Ayah, asalnya orang sekampung Abah. Akhirnya, Abah menyanggupi menerima saya selaku anaknya, sedangkan ketika itu Abah belum pun beristeri. Petang itu, Abah bertanya pada tunangnya, sanggup tak dia menerima saya ke dalam keluarga mereka kelak? Besar sungguh pengorbanan Abah. Besar sungguh juga pengorbanan Umi. Takkan mampuku balas jasa mereka sampai bila-bila!"

Terkedu sebentar saya taktala membaca karangan ringkas rakan saya ini di blognya baru-baru ini. Dalam hati, saya mengagumi jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh abahnya  kepada rakan saya. Setiap insan, selain Adam, Hawa dan Nabi Isa, pasti memiliki bapa. Itulah hakikat yang tidak dapat kita nafikan. Nah rakan-rakan, dalam ruangan perbincangan yang baru saya buka ini, marilah kita bertanya diri kita, sudahkan cukup kita menghargai jasa dan bakti seorang ayah kepada kita?

Izinkan saya bertanya pada rakan-rakan sekalian. Jawablah dengan jujur. Pernahkah kita membingkiskan ucapan sayang kepada ayah kita ? Ingatkah lagi bilakah kali terakhir tangan insan tercinta kita itu, kita cium dengan kasih ? Pernahkah sama sekali ubun-ubun dan dahi insan yang amat kita kasihi itu kita kucup dengan kasih sayang ? Ayah kita sama sekali tidak perlukan wang ringgit untuk membalas jasa mereka. Mereka tidak mengharapkan kita pulang untuk membelikan mereka rumah mahupun kereta mewah. Setiap ayah, walau sekeras mana pun mereka nafikan, dahagakan kasih sayang anak-anaknya. Setiap ayah inginkan anak-anaknya menjadi insan yang berjaya, sama ada di dunia, mahupun di sisi ilahi.

Sejarah Hari Bapa

Sekali imbas, sejarah bermulanya Hari Bapa ini tidak memiliki susur galur yang jelas. Ada pandangan yang berpendapat bahawa Hari Bapa diadakan sebagai pelengkap Hari Ibu yang diadakan pada bulan Mei. Sebahagian artikel pula mengiktiraf Puan Grace Golden Clayton sebagai pengasas Hari Bapa ini. Beliau telah mengadakan Hari Bapa pada 5 Julai 1908 sebagai tanda penghormatan buat 210 bapa yang telah terkorban dalam kemalangan di pusat perlombongan Monongah pada 6 Disember 1907.

Suatu kajian yang menarik telah dilakukan oleh University of Kansas. Mereka merekodkan bahawa Hari Bapa telah diilhamkan oleh Sonora Smart Dodd pada 19 Jun 1910. Hari tersebut diadakan bagi menghargai jasa bapanya yang bernama William Jackson Smart yang telah membesarkan keenam-enam orang anaknya tanpa isteri di sisi. Beliau telah memilih hari Ahad minggu ketiga bulan Jun sebagai tarikh rasmi Hari Bapa dan tarikh inilah yang telah digunakan secara rasmi di kebanyakan negara pada hari ini.

cium ayah

Hari Bapa ; Hukum Menyambutnya

Tidak banyak hujah atau hukum yang dibangkitkan sekitar hukum menyambut Hari Bapa ini. Ada yang mengharamkan kerana disamakan dengan sambutan Hari Ibu. Pun begitu, asal-usul Hari Bapa adalah sedikit berbeza dengan Hari Ibu kerana Hari Bapa tidak memiliki hubung kait dengan upacara persembahan Dewa Greek dan Roman seperti yang pernah diamalkan sewaktu penyambutan Hari Ibu suatu ketika dahulu. Hujah ini dirapuhkan lagi dengan fatwa daripada Dr. Yusof Al-Qharadawi yang mengharuskan sambutan Hari Ibu dengan syarat sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu. Dr. Yusof Al-Qardhawi juga mensyaratkan bahawa sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum syarak iaitu menyamai Aidiladha dan Aidilfitri yang punya asas yang jelas dalam nusus syariah.

Sebahagian pendapat pula ada yang menyatakan Hari Bapa adalah haram kerana ia merupakan budaya Barat yang dicipta bagi merosakkan pemikiran umat Islam. Lebih-lebih lagi budaya seperti ini tidak terdapat di dalam Islam. Mereka berhujah berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi :

Barangsiapa yang mengadakan perkara-perkara baru dalam urusanku ini (islam) yang tidak ada sumber darinya, maka amalan tersebut akan tertolak”.

Walau apa pun pandangan yang diutarakan tentang halal dan haramnya menyambut Hari Bapa, haruslah kita sedar bahawa kewajipan menghormati dan mengasihi bapa kita telah termaktub di dalam Al-Quran seperti mana yang tersebut di dalam surah An-Nisa', ayat 36 :

Beribadahlah kalian kepada Allah, dan janganlah mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, Dan berbuatlah baik kepada orang tua…

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi pula, junjungan besar kita Nabi Muhammad telah bersabda :

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa”.

Dengan ini jelaslah bahawa kita sebagai anak sewajibnya mentaati segala perintah bapa kita selagi mana ia tidak berlanggar dengan syariah Islam. Kewajipan ini tidaklah terikat hanya semasa kita hidup, sebaliknya apabila mereka meninggal dunia. Nabi Muhammad di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim telah bersabda :

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah yang berkekalan, ilmu yang dimanfaatkan oleh orang, dan anak soleh yang mendoakannya”.

Sebenarnya, tidak perlu untuk kita menunggu satu hari yang spesifik bagi melahirkan rasa sayang dan kasih kita pada ayah kita. Apa salahnya kalau sekali sekali, kita menghantar pesanan ringkas kepada ayah kita, mengucapkan betapa kita rindu kepada beliau. Apa salahnya kalau kita meluangkan sedikit masa untuk menelefon ayah yang jauh di Malaysia bagi bertanyakan khabar berita mereka. Bagi yang berkemampuan, alangkah eloknya kalau mampu kita keluarkan sedikit perbelanjaan pada cuti musim panas kali ini untuk pulang ke Malaysia bagi mengubat rasa rindu seorang bapa pada anaknya jauh di perantauan.

Pepatah Inggeris ada berbunyi, “Kita tak akan sedar betapa berharganya sesuatu yang kita miliki sehinggalah ia sudah hilang”.

Ya rakan-rakan, ingatlah, semakin hari, masa semakin pendek, dan kita tidak boleh nafikan bahawa diri bapa kita semakin dimamah usia. Tidak salah kalau kita ingin mengejar kejayaan, tapi janganlah sehingga kita lupa untuk menyampaikan rasa kasih dan sayang pada bapa kita. Mungkin kita boleh mencari ganti bagi harta yang hilang, namun sama sekali kita tidak boleh mencari galang ganti buat ayah kita.

Ayuh, marilah kita gunakan masa yang ada untuk mengucapkan kepada ayah kita; “Abah, I Love You!”.

Info Penulis

Ihsan Khalib bin Jaafar merupakan mahasiswa perubatan Tahun 2 di Universiti Kaherah. Merupakan jurnalis di Jabatan Jurnalis PERUBATAN bagi sesi 2012/2013, beliau tidak pernah malu untuk menyatakan rasa sayang terhadap ibubapanya di hadapan rakan-rakannya.


Banner



Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:

You cant comments here. Please Login or Register.

Berita Hangat

Artikel Popular

Komen Terbaru