You are here: Utama

PERUBATANonline

Sambutan Hari Nakbah Ke-64: Ahli PERUBATAN Diseru Perbanyakkan Munajat & Ibadat Pada Allah

E-mail Print PDF
dihantar oleh wan_fizi05

logo perubatan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Kahfi, ayat ke-109,

Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".

Selawat & Salam juga diperbanyakkan buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta seluruh para Sahabat dan Ahli Keluarga Baginda yang telah terlebih dahulu memperjuangkan Islam sbeelum daripada kita. Semoga kita tergolong dalam kalangan umat Nabi S.A.W yang sentiasa komited dalam menyambung rantai perjuangan Islam yang suci ini.

Sahabat-sahabat ahli keluarga PERUBATAN yang dirahmati Allah sekalian;

Tanggal 15 Mei 2012 merupakan hari ulangtahun ke-64 sambutan Hari Nakbah bagi memperingati lipatan sejarah hitam buat umat Islam seluruh dunia. 15 Mei pada setiap tahun disambut bagi mengenang kekejaman Israel & Zionis yang telah menghalau lebih 700, 000 orang umat Islam penduduk Palestin dari tanah tumpah darah mereka tersebut. Tarikh tersebut merupakan detik hitam yang tidak mungkin dilupakan oleh seluruh pejuang Islam yang sedang berjuang bagi membebaskan Al-Quds daripada cengkaman musuh Islam, Israel & Zionis Laknatullahi ‘Alaihim.

536591 295061667248475 118973421523968 676879 466806052 n 1

Pada tahun ini, kita turut dikejutkan dan hati kita turut dirobek dengan peristiwa mogok lapar atau “hunger strike” yang terpaksa dihadapi oleh tahanan-tahanan Palestin di penjara Israel. Ada dalam kalangan mereka yang telah mengikat perut lebih daripada 70 hari semata-mata bagi menunjukkan protes terhadap kekejaman dan kezaliman Israel terhadap mereka. Ada di antara mereka yang sedang menanti saat untuk meninggal dunia akibat kurangnya vitamin dan nutrisi dalam badan mereka. Semua ini terpaksa dilakukan oleh mereka kerana suara, hasrat & tuntutan mereka tidak didengari oleh rejim Israel. Mahal sungguh mahar yang terpaksa mereka bayar untuk menentang kezaliman terhadap diri mereka yang tidak bersalah dan yang telah ditahan tanpa bicara sejak bertahun-tahun lamanya. Antara tuntutan mereka termasuklah:

  1. Menamatkan polisi kurungan, penahanan dan pengasingan secara bersendirian/individu.
  2. Menamatkan “administrative detentions”.
  3. Mengembalikan hak lawatan kepada ahli keluarga tahanan dari Semenanjung Gaza yang mana hak ini telah dinafikan sejak lebih 6 tahun yang lalu.
  4. Membatalkan peraturan yang mengehadkan capaian para tahanan di penjara Israel terhadap bahan-bahan pendidikan/ilmiah, yang dikenali sebagai undang-undang ‘Shalit’.
  5. Menamatkan penginaan sistematik, termasuklah “strip searches” secara sewenang-wenangnya, serbuan setiap malam dan hukuman secara kolektif kepada tahanan Palestin.

Oleh itu, saya menyeru seluruh ahli PERUBATAN untuk mengambil peluang sempena sambutan bagi memperingati Hari Nakbah ke-64 pada esok hari (15 Mei 2012) untuk memperbanyakkan amal ibadat serta munajat kepada Allah. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan saudara-saudara se-Islam kita yang sedang ditindas di sana. Kekuatan umat Islam itu terletak pada keimanan kita yang tinggi kepada Allah sebagai Sang Pencipta dan Pemilik bagi sekalian alam ini. Justeru, ahli PERUBATAN sekalian diseru untuk:

  1. Berpuasa sunat pada tanggal 15 Mei 2012 (Selasa);
  2. Membaca Al-Quran;
  3. Menunaikan Solat Hajat;
  4. Dan berdoa bagi kesejahteraan tahanan Palestin yang berada di penjara Israel serta umat Islam yang berada di Palestin, Syria dan di seluruh dunia.

Isu umat Islam dalam negara mahupun di seluruh dunia terutamanya di Gaza & Syria seharusnya sentiasa menjadi pririoti untuk kita cakna bersama. Ianya bukan isu orang Islam di negara tersebut semata-mata, malah ianya merupakan isu umat Islam sedunia. Ianya tidak cukup dengan hanya ‘share’ di Facebook, menukar “profile picture” di Facebook atau membaca artikel-artikel di internet. Namun, selaku mahasiswa yang mempunyai minda dan pemikiran kelas pertama, ahli PERUBATAN sewajarnya bersikap lebih proaktif dalam mendepani isu-isu sebegini. Libatkanlah diri dalam memberi penerangan dan pendedahan kepada orang lain (masyarakat Malaysia khususnya), hulurkanlah bantuan seandainya ada tabung-tabung yang bergerak di hadapan kita dan sekurang-kurangnya, janganlah kita lupa untuk mendoakan kesejahteraan mereka setiap kali kita selesai menunaikan solat.

Sesungguhnya, kegemilangan Islam itu akan kembali tidak lama lagi, maka beruntunglah bagi golongan yang mahu menjadi sebahagian daripadanya dan amat rugilah bagi mereka yang sengaja tidak mahu melibatkan diri dalam usaha menggapai cita-cita tersebut. Marilah sama-sama kita tergolong dalam kalangan mereka yang berusaha hendak meletakkan Kalimat Allah ditempatnya yang tertinggi sebagai manifestasi kehambaan kita kepada Allah. Hal ini bertepatan dengan satu Hadith Nabi S.A.W:
وعنْ أبي موسى الأشعريِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قالَ: قالَ رسولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ في سَبِيل اللَّهُ 
- مُتَّفَقٌ عليهِ -
Dan daripada Abi Musa Al-Ashaari R.A, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang berperang (berjihad) untuk menjadikan Kalimat Allah di tempat yang tertinggi, maka orang itu sedang berjihad fisabilillah.”

Sekian, wassalam.

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah”

hafizijunaidi

Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi,
Presiden PERUBATAN 2012/2013.

Sila rujuk pautan berikut untuk informasi tambahan:

[JAKSI] Individu Arab Pohon Bantuan Kewangan Di Rumah Akhawat Guna Surat Bahasa Melayu

E-mail Print PDF
dihantar oleh wan_fizi05
Rating: / 1
InferiorSuperior 

logo perubatan

Sahabat-sahabat ahli keluarga PERUBATAN yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Dalam keghairahan kita dalam bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran dan menyambut cabaran peperiksaan akhir tahun yang sedang berlangsung ketika ini, pihak JAKSI PERUBATAN telah menerima beberapa aduan daripada ahli PERUBATAN mengenai kes individu  Arab yang datang ke beberapa rumah akhawat dan memperkenalkan diri sebagai orang miskin yang memohon bantuan kewangan (sedeqah).

Menurut laporan yang diterima, modus operandi yang digunakan oleh individu Arab tersebut adalah dengan cara menunjukkan risalah berbahasa Melayu bagi tujuan memohon bantuan kewangan. Walaupun tiada sebarang ancaman ataupun tindak-tanduk yang mencurigakan yang ditunjukkan oleh individu Arab tersebut, beberapa kes yang telah dilaporkan ini jelas membuktikan bahawa individu tersebut telah berjaya mengenal pasti lokasi rumah mahasiswi-mahasiswi PERUBATAN di sekitar kawasan Sayyeda Zainab dan Munirah.


Justeru, pihak JAKSI PERUBATAN menasihatkan semua ahli keluarga PERUBATAN khususnya para akhawat supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan kita bersama. Berikut merupakan saranan dan garis panduan yang dicadangkan oleh pihak JAKSI:


1. Jangan sesekali membuka pintu apatah lagi membenarkan individu Arab yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Khusus bagi para akhawat, sebarang urusan penyelenggaraan atau membaik-pulih rumah yang memerlukan individu Arab masuk ke dalam rumah hendaklah dipantau dan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang mahasiswa lelaki (ahli PERUBATAN).

3. Ahli PERUBATAN perlu sentiasa melaporkan kepada pihak JAKSI dengan segera jika terdapat sebarang kes yang mengancam keselamatan diri mahupun sahabat handai di sekeliling anda.


Akhir kata, pihak JAKSI menyeru ahli PERUBATAN sekalian untuk lebih cakna dan lebih sensitif untuk memelihara biah solehah (suasana harmoni) yang wujud dalam komuniti PERUBATAN pada hari ini. Tindakan cuai dan tidak bertanggungjawab seperti tidak menggunakan musyrif pada waktu malam, membenarkan individu Arab masuk ke dalam rumah, bersikap sambil lewa ketika berurusan dengan masayarakat Arab boleh membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian kita. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bukan semata-mata berkaitan dengan soal keselamatan diri kita sahaja, malah ia turut melibatkan sahabat-sahabat kita yang lain juga, jika bukan kita yang ditimpa musibah, bermungkinan sahabat kita yang akan kena hasil tindakan cuai kita tersebut.

Akhir kata, selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun, semoga ujian dunia ini tidak menjadikan kita lupa akan ujian akhirat kelak yang jauh lebih besar nilainya.


“Hak Tertegak, Biah Terpelihara”

"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"

Muhammad Haziq Bin Alias

Ketua Pengarah JAKSI PERUBATAN 2012/2013

Merangkap Pengarah JAKSI OPU Kaherah.

Rusuhan di Abbasiyah: Ahli PERUBATAN Diseru Meningkatkan Langkah-langkah Keselamatan

E-mail Print PDF
dihantar oleh suhailah

logo perubatan

Sejak kejatuhan rejim bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Mesir masih berada dalam keadaan yang tidak dijamin keselamatannya. Sering kali, kita mendengar berita berkenaan rusuhan dan demonstrasi yang berlaku di beberapa tempat di seluruh Mesir khususnya kejadian yang berlaku berhampiran dengan kediaman pelajar-pelajar Malaysia seperti di Medan Tahrir dan Abbasiyah. Pada tanggal 27 April 2012 yang lepas, satu demonstrasi telah berlaku di sekitar kawasan Abbasiyah (berdekatan stesen minyak ‘Coop’) yang berpunca daripada ketidakpuashatian mereka kepada pihak tentera atas pembatalan pencalonan Syeikh Hazim Solah (calon Salafi) daripada kerusi presiden Mesir.

Oleh kerana kebanyakan penduduk Abbasiyah adalah pro tentera dan tidak berpuas hati dengan demonstrasi yang dibuat, maka provokasi telah berlaku dan menyebabkan demonstrasi tersebut bertukar menjadi rusuhan. Keadaan menjadi bahaya kerana kemungkinan ada kumpulan-kumpulan gangster yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Biasanya keadaan menjadi tidak terkawal bermula jam 11 hingga 12 tengah malam dan berakhir sekitar 6 hingga 7 pagi. Walau bagaimanapun, pada 30 April 2012, keadaan berlarutan sehingga pukul 10 pagi menyebabkan peperiksaan dan kuliah di Universiti Ain Shams pada hari tersebut terpaksa dibatalkan. Kejadian rusuhan ini berlaku di sekitar pintu masuk utama Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams, Masjid Nur dan Stesen Bas Abbasiyah.

Sehubungan itu, PERUBATAN menyeru kepada semua pelajar Malaysia terutamanya pelajar Universiti Ain Shams yang tinggal berhampiran kawasan-kawasan rusuhan tersebut untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan masing-masing dalam menghadapi situasi ini.

Antaranya, ahli PERUBATAN dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan-kawasan yang berisiko tinggi (kawasan berlakunya demonstrasi) serta diingatkan untuk tidak keluar rumah melainkan jika ada urusan penting sahaja. Sila maklumkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada PERUBATAN di talian berikut:

+20111-6531101 (Presiden PERUBATAN)

+20114-0839115 (Hotline PERUBATAN)

+20111-2275054 (Pengarah JAKSI OPU Ain Syams)

+20112-3386608 (Timb. Pengarah JAKSI OPU Ain Syams)

Untuk makluman para ahli PERUBATAN sekalian, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir (KBMK) serta Education Malaysia Egypt (EME) telah dimaklumkan oleh PERUBATAN berkenaan perkara ini dan tindakan susulan bakal diambil oleh pihak-pihak yang berwajib bagi memastikan keselamatan warga Malaysia di sekitar Abbasiyah berada dalam keadaan terjamin.

Marilah sama-sama kita doakan agar Mesir kembali aman, tenang dan semuanya berada dalam keadaan selamat dan tenteram. Semoga perjuangan rakyat Mesir dalam menegakkan keadilan ini akan dipermudahkan Allah.

“Wahai Tuhan Kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu dari tipu daya orang- orang yang kafir.” (Surah Yunus: Ayat 85-86)


Sekian, wassalam.

Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati
At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah

 
hafizijunaidi

Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi
Presiden
PERUBATAN 2012/2013