Sejak dari bangku sekolah lagi, kita dikhabarkan bahawa bidang Perubatan adalah bidang yang sangat sukar. Hanya orang-orang yang terpilih, dan paling cemerlang sahaja yang layak ke Fakulti Perubatan. "Cream of the cream" kata orang.
Dilahirkan sebagai manusia yang kompetitif, tinggi daya saing dan kemahuan, tinggi semangat dan cerdas akal, lantas kita berusaha sebaik mungkin bagi membolehkan diri ditawarkan ke kursus Perubatan. Hari ini, di sinilah kita, di kerusi yang menjadi idaman dan target ramai para pelajar.
Mahalnya nilai kerusi untuk bergelar pelajar Perubatan, menuntut bayaran yang setimpal juga. Stress bukanlah perkataan asing dalam kehidupan seorang pelajar. Keadaannya di bumi Mesir, perkataan stress paling kerap diulang sebut sepanjang musim peperiksaan, memandangkan sistem kursus Perubatan kita bukanlah berbentuk Student Centered yang memerlukan pelbagai assignments dan pembentangan serta kerja lapangan disiapkan setiap minggu sepanjang tahun.
Ketika asyik meneliti slides untuk Peperiksaan Praktikal Patologi, seorang teman tiba-tiba meminta saya menuliskan tentang Pengurusan Perasaan di Musim Peperiksaan.
"Aku? Pengurusan Perasaan? Kau salah orang la." Jawab saya seperti baru bangkit dari lamunan.

STRESS dan PELAJAR
Ibu saya seorang guru sekolah menengah. Kata ibu saya, sepanjang bertemu dengan bekas-bekas pelajarnya, tiada seorang pun yang mengatakan kursus pengajian mereka mudah. Bidang Pergigian, Kejuruteraan Kimia, Ekonomi, Pengajian Islam, TESL, dan Kemahiran Komputer sekalipun, tiada yang mengaku kursus mereka mudah.
Hakikatnya, yang Allah berikan untuk kita adalah bebanan yang mampu kita pikul.
Hanya kekuatan mental, emosi dan spiritual yang kita pupuk yang akan menentukan perjalanan kita seterusnya, berjaya atau tersungkur di perjalanan.
Lebih spesifik kepada bumi Mesir, sebenarnya banyak kes-kes gangguan perasaan yang terjadi, tapi hanya didiamkan. Setiap tahun pasti ada sahaja kes pelajar yang terpaksa pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan Psikiatri.
Kata teman ibu saya, seorang ustazah lulusan Mesir, di Mesir ini ada istilah "Hantu Periksa". Wujudnya pelajar dengan pelbagai masalah psikologi yang ketara terutamanya di musim peperiksaan.
Malahan, ada kajian di Mansura yang menunjukkan bahawa pelajar Perubatan Perempuan Tahun 1 merupakan golongan yang terdedah kepada tekanan yang luar biasa hebatnya. Fakta ini paling kuat saya ingat, kerana saya sendiri sewaktu di Tahun 1 pernah terfikir untuk berpatah balik dan meninggalkan bidang ini.
SESERIUS ITUKAH MASALAH TEKANAN INI?
Nah, sekarang semak di sekeliling anda.
Pernah dengar tentang rakan yang tidak mahu duduk semeja makan bersama?
Bila diajak makan bersama, "Makanlah dulu, saya kenyang," itu jawapannya. Makan berseorangan akhirnya menjadi pilihan.
Ada rakan serumah yang mengelak untuk solat berjemaah?
"Solatlah dulu, nanti saya sambung."
Atau, dengar sahaja bunyi azan, cepat-cepat solat dilunasi, tidak menunggu rakan-rakan untuk sama-sama berjemaah.
Rakan serumah yang bila tiba jadualnya untuk memasak, dilaksanakan secara acuh tak acuh.
Rakan serumah yang, pernah dahulunya ceria tiba-tiba jadi pendiam.
Telinganya hanya diberi peluang untuk mendengar dari hands-free, bukan mulut kita.
KENAPA INI TERJADI?
Apa yang dapat saya perhatikan, keadaan ini terjadi kerana kecuakan yang melampau menjelang peperiksaan. Meletakkan peperiksaan sebagai gol untuk setahun pengajian, menjadi underlying reason, tanpa disedari.
Segala tingkah laku manusia, hanya akan tertumpu kepada apa yang sudah dipatri di fikiran. Kalau peperiksaan yang jadi matlamat dan tumpuan, maka perkara lain di sekeliling akan hilang keutamaan. Perasaan sahabat, susun atur dan keadaan rumah, semuanya tidak diberi perhatian dan cukup sekiranya tidak mengganggu tumpuan untuk terus belajar.
BUKANKAH ITU SIKAP ORANG YANG MEMENTINGKAN DIRI?
Sekali lagi semak. Sahabat kita adalah insan biasa, yang pasti terkesan perasaannya jika wujudnya tidak dipedulikan. Adakah dalam hidup ini, segala-segalanya yang utama adalah usaha kita untuk lulus peperiksaan?
"Masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan kerana banyaknya amalan kita."
Nah, biasa dengar kan?
Maka saya tukarkan sedikit, "Lulus peperiksaan kerana kehendak Allah, bukan kerana banyaknya menelaah."
JAGA HATI MAKHLUK, JAGA 'HATI' KHALIQ
Setiap yang wujud di dunia ini adalah hamba Allah. Pesan murabbi di INTEC dahulu, kita berbuat baik kepada seseorang adalah kerana beliau hamba Allah.
Menjaga hati hamba Allah, adalah langkah untuk menjaga "hati" Allah.
Mahukah kita sekiranya perasaan sahabat yang kita calari itu menjadi hijab untuk kejayaan?
Di kala ini juga, dapat kita perhatikan ramai yang suka bermain perasaan. Sensitif yang melampau. Gurauan diambil sebagai peluru yang menembak. Perkara kecil jadi masalah besar. Yang mudah jadi susah. Semuanya kerana "mind block" yang sudah siap dipasang.
Benarlah kata orang, di bawah tekanan, sikap sebenar seseorang akan jelas dipamerkan.
NATIJAH YANG NYATA?
Artikel bertajuk "Ini Bukan Masanya" menjadi artikel yang malar segar di PO ini.
"Musim exam, topik kahwin", satu fenomena biasa.
Apa isi tersirat yang dapat kita gali?
Ya, perasaan keseorangan. Kekurangan kasih sayang kata orang. Sahabat-sahabat yang sering jadi teman gelak bersama, jadi pendengar setia, kini menumpahkan sepenuh perhatian dan cinta kepada nota-nota dan buku-buku pelajaran.
Pelbagai lagi lah perangai pelik yang dapat kita lihat setiap kali musim peperiksaan menjelang. "Biasa la tu, musim exam," senang kita melepaskan.
PENYELESAIAN SECARA BERSAMA
Tanpa kita sedar, tindakan yag kita anggap sekadar untuk melunaskan keinginan kita, atau melayan perasaan kita yang juga tercalar, boleh menjadi sebab mutiara jernih dari sahabat mengalir. Maka pesanan saya:
1) Kembalilah berpaut. Hubungkan yang renggang. Kalau anda yang memilih untuk menjauhkan diri dari orang, andalah yang akhirnya akan terpinggir. Not to get detached, be attached. Kata kuncinya komunikasi.
2) Carilah bantuan. Mengadulah kepada Tuhan, mintalah panduan dan nasihat daripada hamba Tuhan. Kalau perlu, rujuk senior-senior yang ada.
"It is known that physicians do not seek the kind of professional help for themselves as they would provide for their patients. Medical students seem to adapt similar behaviour." -Bio Med Central
3) Jadilah pendengar yang baik. Luangkan sedikit masa untuk mendengar apa yang ingin sahabat kita kongsikan.
4) Get distracted. Sesekali tutup buku sekejap, tunaikan solat dua rakaat. Baca surat cinta dari Pencipta. Ajak rakan serumah untuk duduk bersama sambil saling memberi peringatan. Kalau mampu untuk diadakan SC, jalankanlah.
5) Jadikan solat berjemaah dan makan bersama sebagai syarat yang wajib.

Saya menulis bukanlah kerana saya yang paling baik dalam melaksanakan apa yang ditulis. Tapi saya menulis dengan hasrat sahabat-sahabat dapat melaksanakannya dengan lebih baik.
Semoga dengan keredhaan yang di bumi, penghuni langit akan turut merestui kejayaan buat kita. Bersama ke arah mewujudkan mahasiswa-mahasiswi Sains Kesihatan yang lebih kental daya tahan terhadap cabaran, berintelektual dan nilai budi yang tinggi.
Akademik dijaga, Kebajikan Terpelihara, Kesatuan jadi amalan.
Jadi Hamba Tuhan, bukan Hamba Imtihan. Moga kita semua dipelihara.
Salam Imtihan buat seluruh warga PERUBATAN. 
Info Penulis
Nur Humairah Che Ibrahim, merupakan Mahasiswi Tahun 3 Kuliah Perubatan Universiti Kaherah, memegang portfolio sebagai Timbalan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan PERUBATAN bagi sesi 2011/2012.
| < Prev | Next > |
|---|







Comments
nasihat2 yg diberikan sangat best dan sangat memberi pengajaran untuk berubah ke arah kebaikan...hehehe
RSS feed for comments to this post