
“Muharram, Safar, Rabiulawwal, Rabiulakhir, Jamadilawwal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah…”
Begitulah serangkap bait lirik nasyid bulan-bulan Islam yang pernah disensasikan oleh kumpulan Alarm Me suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, bulan Rejab antara bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia. Bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah ini seolah menjadi indikator menandakan ketibaan Ramadhan, bulan suci buat umat Islam.
Sebelum tibanya Ramadhan, umat Islam perlu membuat persiapan dari segi jasmani mahupun rohani agar mampu menjalani bulan mulia ini dengan sempurna.
Rasul kita, Nabi Muhammad S.A.W. pernah mengajar satu doa yang sunat diamalkan apabila tiba bulan Rejab dan Sya’aban, dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah, moga-moga kita terus diberkati dan diberi keizinan untuk terus hidup sehingga bulan Ramadhan mendatang. Sabda Baginda yang berbunyi :
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."
Peristiwa penting dalam bulan Rejab
Disebabkan terlalu gopoh dalam melaksanakan ‘tuntutan sunat’ di bulan Rejab ini, mungkin ramai yang terlepas pandang tentang perkara yang berlaku di bulan ini. Hakikatnya terdapat beberapa peristiwa yang telah melakar sejarah dalam kalendar bulan Rejab dan seharusnya diketahui oleh segenap umat
1. Peristiwa Isra’ Mikraj
- Kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah-Baitul Maqdis di waktu malam dan kemudiannya diangkat naik ke langit untuk bertemu Allah.
- Jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kenabian Rasulullah S.A.W. Antara kesan penting peristiwa ini ialah difardukan solat 5 waktu sehari semalam ke atas seluruh umat Islam.
2. Hijrah Pertama Umat Islam
- Kaum Muslimin Mekah telah berhijrah ke Habsyah disebabkan tekanan dan ancaman yang dikenakan oleh kaum Musyrikin ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW dan orang-orang beriman.
- Hijrah pertama seramai 14 orang ini bertujuan menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru bagi meluaskan ajaran Islam.
3. Perang Tabuk
- Perang ini telah berlaku pada tahun kesembilan Hijrah, di sebuah daerah di uatara Semenanjung Tanah Arab yang dikenali sebagai Tabuk.
- Merupakan peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah S.A.W. sebelum kewafatan baginda.
4. Pembebasan Baitul Maqdis
- Baitul Maqdis telah dibuka semasa zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab RA tetapi akibat kepincangan sikap dan perpecahan yang berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah, orang Kristian telah menawan kawasan ini dengan melakukan serangan bertubi-tubi ketika Perang Salib berlaku.
- Dengan izin Allah, Baitul Maqdis telah dirampas semula oleh tentera Islam di bawah pimpinan Salehuddin Al-Ayyubi pada 27 Rejab 583H setelah Kristian menaklukinya selama 50 tahun.
5. Lahirnya Imam Syafie RH
- Beliau merupakan salah seorang Imam Mazhar yang Empat.
- Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Idris, dilahirkan di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H dan telah kembali ke Rahmatullah pada malam 28 Rejab 204H di Mesir
- Antara peninggalan beliau yang paling berharga hingga kini adalah Kitab Al-Umm yang menjadi rujukan utama di kalangan ahli Feqh.

Fadhilat dan Kelebihan bulan Rejab
Apabila ditanya tentang fadhilat dan kelebihan bulan Rejab, ramai umat Islam yang akan tersalah tafsir. Hal ini kerana, banyak hadis maudhu’ yang telah disebarkan menyebabkan rata-rata umat Islam memandang tinggi bulan Rejab berbanding bulan Ramadhan itu sendiri. Hakikatnya, tiada dalil atau nas yang betul-betul thabit yang menetapkan kelebihan dan ganjaran istimewa pada bulan Rejab.
Al-quran tidak menyebut secara khusus tentang bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyebut mengenainya secara tidak langsung iaitu Surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan Surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37).
Firman Allah S.W.T di dalam Surah at-Taubah ayat 36, mafhumnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya. Ketahuilah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.”
Bulan Rejab merupakan di antara empat bulan yang dihormati menurut Al-Quran. Disebabkan itulah, Rejab turut dikenali sebagai salah satu bulan yang diharamkan berperang (al-Asyhur Hurum) selain Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Memetik satu kata-kata daripada Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatawa Mua’sorah:
“Tidak ada satu pun hadith yang sahih menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan haram (yang dimuliakan), dan telah disebut oleh Allah swt di dalam kitabnya.”
Manakala, kebanyakan dalil daripada as-Sunnah pula merupakan hadis dhoif (lemah) dan maudhu’ (palsu). Di sinilah timbulnya khilaf dalam kalangan ulama’ khalaf yang mempertikaikan tentang hadis-hadis berkaitan bulan Rejab. Antara hadis yang disepakati oleh kebanyakan ulama’ hadis sebagai hadis lemah:
"Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadhan bulan umatku."
Hadith-hadith lain yang menjelaskan tentang ganjaran yang istimewa dan berlipat kali ganda pada bulan Rejab kebanyakannya merupakan hadith lemah dan palsu. Kita sebagai umat Islam sewajarnya mengkaji terlebih dahulu tentang taraf dan kedudukan sesuatu hadith sebelum beramal dan berhujah dengannya.
Rejab persediaan Ramadhan
Sebenarnya, bulan Rejab sebenarnya tidak jauh berbeza dengan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam. Bulan ini tidak lain hanyalah untuk digunakan sebagai persediaan membina kecerdasan iman dan kekuatan diri seseorang sebelum hadirnya bulan Ramadhan. Hakikatnya, tiada amalan-amalan khusus yang diarahkan oleh Rasulullah SAW untuk dilaksanakan dalam bulan Rejab seperti mana digalakkan solat Tarawikh pada malam bulan Ramadhan.
Walau bagaimanapun, memperbanyakkan puasa sunat pada bulan ini amat digalakkan agar badan kita tidak terkejut menerima tuntutan dan kewajipan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadhan. Antara amalan sunat yang boleh kita sama-sama praktikkan pada bulan ini atau bulan-bulan berikutnya ialah:
- Puasa sunat Isnin dan Khamis setiap minggu
- Berpuasa sunat pada hari-hari putih(13, 14 dan 15 hb setiap bulan hijrah)
- Solat sunat rawatib
- Solat sunat tahajjud atau qiamullail
- Solat sunat Dhuha
- Bertasbih, bertahmid, bertakbir 33 kali setiap satu selepas solat fardhu
- Perbanyakkan selawat serta istighfar
- Membaca Al-Quran
Justeru itu, kita selaku umat Islam seharusnya memanfaatkan bulan ini dengan perkara-perkara baik malah boleh dijadikan titik tolak atau permulaan kepada perubahan diri ke arah kebaikan. Jika berlaku perselisihan faham terhadap hadis-hadis yang lemah, apa kata kita kembali kepada ‘The Best Role Model’ kita iaitu Nabi Muhammad SAW kita sendiri, seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah Al-Azhar, ayat 21)
Info Penulis
Zahidah Maulida, merupakan mahasiswi Tahun 2, kuliah perubatan Universiti Al-Azhar. Beliau merupakan jurnalis PERUBATAN sesi 2012/2013.
| < Prev | Next > |
|---|







